Penyerang Barcelona dan Sepanyol, Ferran Torres, ditimpa kecederaan hamstring dan akan diketepikan untuk tempoh yang tidak ditentukan, kata gergasi Catalan itu semalam.

Pemain berusia 24 tahun itu akan terlepas perlawanan Liga Negara-Negara UEFA (UNL) menentang Denmark, Ahad ini, disusuli aksi menentang Serbiam Rabu depan, setelah otot paha kanannya terkoyak.

Laporan media Sepanyol berkata Torres mungkin perlu dipinggirkan selama enam hingga lapan minggu selepas terhencut-hencut selepas dimasukkan hanya lima minit dalam kemenangan 3-0 Barca di Alaves, kelmarin.

"Ujian ke atas Ferran Torres mengesahkan dia mengalami kecederaan di otot biceps femoris paha kanannya. Tempohnya kembali ke gelanggang latihan bergantung kepada tahap pemulihannya," kata ​​pendahulu LaLiga itu yang telah merakamkan lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan musim ini.




The Blaugrana sedang dihantui krisis kecederaan, dengan Dani Olmo, Gavi, Fermin Lopez, Andreas Christensen, Ronald Araujo dan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen, antara pemain yang perlu diketepikan.

"Kecederaan Ferran membimbangkan. Kami tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan," kata pengurus Barca, Hansi Flick, semalam.

Torres telah membuat 10 penampilan untuk Barcelona musim ini dengan menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan.