EPL

United masih terus tercari-cari

Asmawi Bakiri 04/09/2023 | 09:29 MYT
Sudah sedekad lamanya penyokong Manchester United menantikan kebangkitan pasukan mereka untuk kembali ke persada, mempamerkan kegemilangan dan keajaiban saban minggu persis sewaktu zaman Sir Alex Ferguson.
Musim berganti musim, soalan yang sama terus ditanyakan – adakah Red Devils yang disaksikan ketika ini merupakan pasukan yang lebih baik berbanding musim-musim terdahulu?
Jika dilihat pada kekalahan 3-1 di tangan Arsenal semalam, serta jika dianalisis prestasi secara keseluruhan sejak permulaan musim lalu apabila pasukan mereka mula dikendalikan oleh pengurus baru, Erik Ten Hag, jawapan yang diperoleh masih kurang memuaskan.
Perlawanan semalam boleh dibicarakan daripada dua perspektif – sama ada United kurang bernasib baik kerana bolos dua gol pada minit-minit akhir, ataupun mereka memang belum cukup mantap hingga kemenangan yang ditagih terlepas daripada genggaman.
Di bawah kepimpinan Ten Hag ketika ini, penyokong serta penganalisis sebulat suara bersetuju United sedang berada di landasan yang tepat, namun masih terdapat pelbagai masalah serius yang belum ditangani dan menyebabkan mereka masih lagi bergelut.
Paling ketara adalah rekod persembahan United ketika beraksi di gelanggang lawan.
United sudah tewas dua kali di tempat lawan musim ini, didahului di tangan Tottenham Hotspur beberapa minggu lalu.
Musim lalu pula menyaksikan mereka dibelasah 6-3 di Stadium Etihad milik Manchester City, 7-0 di Anfield milik Liverpool, 3-0 di Villa Park milik Aston Villa, serta kekalahan 4-0 dan 1-0 di tempat Brentford dan Brighton.
Adakah semangat dan kekuatan mental pemain United begitu rapuh hingga tidak mampu menunjukkan aksi cemerlang tanpa sorakan penyokong di Theatre of Dreams?
Di saat ini, seteru tradisi, Manchester City, selesa di puncak liga dengan mencatatkan empat kemenangan berturut-turut tanpa sedikit pun tanda untuk berhenti manakala United sudah pun ketinggalan enam mata.
Jika jurang sebegini sudah tercipta pada awal musim, betapa kerasnya usaha yang harus United berikan demi memperoleh peluang untuk terus bersaing.
Kita lihat pula pada pemain-pemain yang menggalas tugas berat ini.
Rasmus Hojlund, penyerang baru dari Atalanta mempamerkan persembahan yang boleh tahan baiknya semalam, perlawanan-perlawanan akan datang bakal menentukan sejauh manakah dia mampu membawa United dalam misi menerobos gawang lawan.
Pemain-pemain baru yang lain, Mason Mount dan Andre Onana pula masih lagi gagal menunjukkan sebarang aksi luar biasa, terutama Mount yang boleh dikatakan agak hambar dalam setiap perlawanan setakat ini.
Bahagian paling kritikal, iaitu barisan pertahanan, kelihatan agak menggusarkan.
United kehilangan khidmat pemain pertahanan tengah utama, Raphael Varane, menjelang perlawanan menentang Arsenal gara-gara kecederaan manakala dua bek kiri, Luke Shaw dan Tyrell Malacia, turut sama tercedera.
Sewaktu perlawanan semalam hampir sampai ke penghujung, Ten Hag memasukkan pasangan Harry Maguire dan Jonny Evans bagi menggantikan Lisandro Martinez dan Erik Lindelof yang masing-masing telah menerima satu kad kuning, dan cukup nyata gandingan mereka tidak cukup ampuh hingga membolehkan Arsenal menggapai gol kemenangan.
Setakat ini, kemenangan yang United catatkan diperoleh dengan jurang yang cukup tipis – 1-0 sewaktu menentang Wolverhampton dan 3-2 sewaktu menentang Nottingham Forest, dua pasukan yang sama sekali tidak boleh digelar sebagai pasukan elit liga.
Jika barisan pertahanan mereka tidak diperkukuhkan prestasinya, sukar dibayangkan apakah yang menanti United kelak.
Persembahan yang masih tidak stabil oleh pasukan diburukkan lagi oleh berita bahawa pemilik kelab, keluarga Glazer, dilaporkan mula mempertimbangkan untuk menarik semula keputusan mereka bagi menjual saham majoriti kepada pihak luar – menambahkan lagi ketidak puasan hati penyokong.
Perjalanan United tidak bermula dengan lancar setakat ini, sama-samalah kita lihat bagaimana mereka meneruskan perjuangan dalam tempoh yang terdekat.
#Manchester United #EPL #Rencana
;