PIALA MALAYSIA
Unifi Piala Malaysia: Terengganu tidak janji bulan, bintang
Kecederaan, penggantungan dan status pemain pinjaman melibatkan dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) membuatkan Terengganu terpaksa melupakan khidmat lima pemain utama menjelang perlawanan separuh akhir kedua Unifi Piala Malaysia.
Keadaan ini menjadikan Sang Penyu enggan janji bulan dan bintang kepada penyokong, lebih-lebih lagi aksi dengan BG Pathum pada Rabu depan dianggap lebih penting.
Bukan berpatah arang tetapi ketua jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali, mahu lebih realistik merujuk kepada kondisi skuadnya ketika ini.
Tanpa lima pemain utama, pertarungan kedua tampak lebih sukar apatah lagi mereka bakal berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Sabtu ini.
Di tambah dengan jurang agregat besar 0-4, Badrul berasakan aksi seterusnya dalam saingan Piala Shoppee mungkin lebih berbaloi untuk diberikan perhatian khusus.
"Kami kena realistik, bukan mudah lawan JDT di SSI dengan ketinggalan 0-4.
"Apa pun kami kena positif, sekurang-kurangnya kami nak keputusan seri dan menang pula dianggap bonus.
"Pergi ke BG Pathum lebih mustahak bagi kami," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Namun, prestasi cemerlang di Johor Bahru tetap dituntut pengendali kelab Pantai Timur itu.
Setidak-tidaknya, ada tonik terbaik sebagai bekalan ke Bangkok kelak.
"Sudah tentu kami akan bagi yang terbaik. Saya sampaikan kepada pemain-pemain untuk setidak-tidaknya -- lebih baik -- selain disiplin di bahagian bawah agak tidak bolos," katanya.