PIALA MALAYSIA

Unifi Piala Malaysia: Tugas sukar Sri Pahang hadapi JDT tanpa Kpah Sherman -- Fandi Ahmad

Muzaffar Musa 03/02/2025 | 10:21 MYT
Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, menganggap tugas sukar menanti pasukannya dalam final Unifi Piala Malaysia bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), di mana mereka akan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada April depan tanpa khidmat ketua pasukan, Kpah Sherman, yang digantung perlawanan.
Fandi akui ia satu kehilangan besar buat pasukannya tanpa kelibat penyerang kebangsaan Liberia itu, terutama selepas mereka turut kehilangan pemain perancang, Manuel Hidalgo, yang dilayangkan kad merah ketika aksi separuh akhir pertama di Likas pada 18 januari lalu.
Pengendali kelahiran Singapura itu turut berharap pihak pengurusan Tok Gajah akan mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan penyerang berusia 31 tahun itu beraksi di pentas final.
Dalam aksi di Stadium Temerloh malam tadi, Kpah dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Razlan Joffri Ali, selepas didapati mengasari pertahanan Sabah, Dominic Tan, pada minit ke-70.
"Tugas berat kerana kami memiliki dua pemain yang berdepan penggantungan," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kpah dilayangkan kad kuning buat kali kedua, tetapi dalam insiden itu dia tidak melakukan apa-apa, dia hanya dihalang dan tidak melakukan sikuan.
"Kami akan mencuba untuk melakukan rayuan dan kami pasti akan mengusahakannya kerana dia sudah bermain sejak dari awal kejohanan.
"Kalau dia tidak dapat bermain dalam final, tidak cantik buatnya," katanya.
#bola sepak #Piala Malaysia #Fandi Ahmad #Kpah Sherman #Sabah FC #Sri Pahang FC
;