PIALA MALAYSIA

Unifi Piala Malaysia: Trofi ini penting, perlu dipertahankan -- Hector Bidoglio

31/01/2025 | 06:19 MYT

Biarpun dikatakan 'sebelah kaki' sudah berada di pentas final Piala Malaysia, namun juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), akan tetap memberikan aksi terbaik pada aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, esok.

Malah, pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio mahu skuad kendaliannya itu terus beraksi mantap dalam usaha mencatatkan kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

"Ya, sebelum ini kami bermain sebagai satu pasukan, secara kompak ketika berdepan lawan.

"Namun, kini cabarannya adalah untuk mempertahankan kemenangan yang diperolehi dan ia bukan sesuatu yang mudah kerana pemain perlu meneruskan aksi sedemikian.

"Lagipun, kita akan berdepan dengan pasukan yang dibarisi ramai pemain yang bagus yang pastinya akan beraksi sebaik mungkin," katanya menjelang perlawanan tersebut.

Untuk rekod, JDT menang 4-0 pada aksi separuh akhir pertama 17 Januari lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Calon pemain naturalisasi Harimau Malaya, Bergson Da Silva meledak hatrik apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 dan menjaringkan dua gol lagi pada minit ke-64 dan pada masa kecederaan.

Satu gol lagi dijaringkan oleh Heberty Fernandes, ketika perlawanan baru berusia 6 minit.

Sementara itu Bidoglio berkata, perlawanan berkenaan juga dilihat penting dalam usaha mempertahankan trofi Piala Malaysia yang dimenangi.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, trofi ini juga merupakan trofi yang penting dan perlu dipertahankan.

"Oleh itu, kesemua pemain perlu memberikan aksi terbaik masing-masing dan seterusnya memastikan kejayaan pasukan," katanya. - Sinar Harian

#bola sepak #JDT #Terengganu #Unifi Piala Malaysia
;