SELANGOR 1 SRI PAHANG 2
(Sri Pahang mara dengan agregat 3-2)

Sri Pahang memadam impian Selangor untuk melangkaui pusingan 16 Unifi Piala Malaysia apabila melakar kemenangan 2-1 untuk mara dengan agreat 3-2 di Stadium MBPJ, sebentar tadi.


Sri Pahang terlebih dahulu merobek gawang tuan rumah di sebalik ancaman terhad yang dijelmakan menerusi sepakan penalti Manuel Hidalgo pada minit ke-25 selepas video bantuan pengadil (VAR) dirujuk.

Kedudukan itu memaksa ketua jurulatih Gergasi Merah, Katsuhito Kinoshi, memasukkan Faisal Halim dalam pengenalan separuh masa kedua.






Dan sekali lagi campur tangan VAR pada minit ke-68 tidak memihak Selangor apabila membatalkan jaringan pemain dari Jordan, Ali Olwan, yang didapati ofsaid.

Selepas itu, harapan yang cuba dijelmakan tuan rumah hanya bertahan lapan minit selepas ketua pasukan, Safuwan Baharudin, mengikat kedudukan 1-1.

Ia gara-gara kesilapan pertahanan, Quentin Chen, yang menghalang larian Hidalgo terpaksa dibayar dengan harga mahal kberikutan memberikan satu lagi sepakan penalti kepada anak buah Fandi Ahmad itu.

Sergio Aguero kemudian tampil untuk menyudahkan situasi getir itu apabila tendangannya mengelirukan penjaga gol tuan rumah, Azim Al-Amin.

Selangor sempat mencemaskan pintu gol Sri Pahang yang dikawal Zarif Irfan Hashimuddin pada minit-minit akhir permainan, namun penjaga gol itu menebus kehampaan di Temerloh, minggu lalu, dengan mempamerkan kekentalannya.

Justeru, skuad Tok Gajah akan pertemuan dengan Perak di peringkat suku akhir pertengahan bulan ini.