PIALA MALAYSIA

Unifi Piala Malaysia: Semangat juang tinggi jadi bekalan Sri Pahang

Shaiful Shamsudin 23/03/2025 | 10:35 MYT
Pengurus Sri Pahang, Datuk Dollah Salleh, menganggap pertukaran tarikh final Unifi Piala Malaysia ke 26 April depan sebagai satu keputusan yang tepat.
Bekas pengendali kebangsaan itu berpandangan sekiranya final dilangsungkan pada 12 April, berkemungkinan besar jumlah kehadiran penyokong kedua-dua pasukan akan terjejas tatkala peminat masih lagi dalam mood awal sambutan Aidilfitri.
Lantas, dia berharap penyokong setia Tok Gajah dapat merancang perjalanan mereka sebaik mungkin sekaligus dapat berdiri teguh di belakang pasukan bagi menghadapi cabaran getir juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Kalau main 12 April, bimbang kurang penyokong. Kita nak stadium bergema.
"Ada orang yang marah buat pertukaran tetapi ia demi impak yang baik untuk penyokong ke stadium.
"Kami khuatir kalau 12 April, ada peminat yang masih dalam suasana nak balik kampung dan rumah terbuka.
"Jadi (perubahan tarikh ini) ada kebaikannya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi, di Nadi Weekend hari ini.
Dollah dalam perkembangan sama turut memberi jaminan Tok Gajah akan berjuang habis-habisan dan tidak akan memberi laluan mudah buat Harimau Selatan meskipun skuad kendalian Fandi Ahmad itu bakal turun tanpa kelibat dua tongggak utama Manuel Hidalgo dan Kpah Sherman yang berdepan penggantungan perlawanan.
"Kalau tengok (prestasi) Sri Pahang musim ini terumbang-ambing tapi semangat yang membawa kami ke final.
'Saya pernah bercakap kepada jurulatih, Fandi Ahmad, bahawa semangat juang dalam Piala Malaysia ini berbeza dengan liga walaupun tanpa dua tonggak utama," katanya lagi.
#Sri Pahang #Unifi Piala Malaysia