PIALA MALAYSIA

Unifi Piala Malaysia: Penjaga gol Sri Pahang patah hidung sebelum aksi final bertemu JDT

Najmi Iman 28/03/2025 | 11:17 MYT
Insiden tidak diingini berlaku menimpa penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin, yang hampir terpaksa melupakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri ekoran mengalami kecederaan muka dan patah hidung.
Kemalangan tersebut terjadi ketika sesi latihan pasukan awal minggu ini apabila penjaga gawang berusia 30 tahun itu bertembung dengan rakan sepasukan, Mykola Ahapov, sebelum dikejarkan ke hospital untuk menjalani rawatan.
"Semasa pelanggaran memang ada pendarahan.
"Saya ingat hanya kening saya yang cedera, namun selepas diperiksa oleh pegawai perubatan hospital disahkan hidung patah.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Dua hari lalu baru selesai pembedahan dengan lima jahitan di kening.
"Doktor berpesan supaya memakai topeng muka jika sedang bermain bola sepak," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Situasi tersebut berlaku sebulan sebelum perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia bertemu juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), April depan.
"Mungkin perlu berjaga-jaga.
"Itu satu cabaran untuk saya.
"Saya tetap akan turun berlatih untuk mendapatkan semula tempat saya dalam pasukan," tambahnya.
#bola sepak #Sri Pahang #Unifi Piala Malaysia #Zarif Irfan Hashimuddin