Unifi Piala Malaysia: Penjaga gol kata dia OK sebab itu kami tidak keluarkannya
Shaiful Shamsudin
November 23, 2024 23:13 MYT
November 23, 2024 23:13 MYT
Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, mengakui tersilap percaturan apabila membenarkan Zarif Irfan Hashimuddin meneruskan perlawanan di Stadium Temerloh, sebentar tadi.
Penjaga gol itu beberapa kali terpaksa diberikan rawatan akibat kecederaan tetapi kelibatnya terus kekal hingga wisel penamat.
Namun, tindakan itu memakan diri apabila kesilapan Zarif Irfan memberikan Selangor gol penyamaan sebagai bekalan untuk perlawanan timbal balik pusingan 16 Unifi Piala Malaysia, Ahad depan.
"Kami dah nak tukar dia tapi dia cakap masih OK. Jadi kami hormat, kami rasa dia masih ok cuma alami kekejangan.
"Selepas ini kami kena bicarakannya. Kalau keadaan masih tidak dapat teruskan kenapa masih nak sambung permain. Tapi dia berikan keyakinan bahawa dia masih OK.
"Kami tidak tahu keadaannya berat atau tidak. Sebab itu kami tidak buat pertukaran," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Bagaimanapun, Fandi enggan terburu-buru dan hukuman bukanlah pendekatan terbaiknya.
Justeru, dia akan menggunakan selama seminggu ini untuk mengadakan persiapan lebih rapi bagi kunjungan ke Stadium MBPJ kelak.
"Kami masih ada seminggu jadi kami harus tengok keadaan semasa, sama ada penjaga gol kedua sudah bersedia atau tidak.
"Selepas ini kami perlu bermati-matian dan bekerja keras daripada hari ini," katanya lagi.