Unifi Piala Malaysia: Pemain import Bahrain wakili Kuching City selepas dua hari lawan Australia
Shaiful Shamsudin
November 21, 2024 16:42 MYT
November 21, 2024 16:42 MYT
Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak, tetap menagih khidmat Moses Atede walaupun pemain tengah importnya itu hanya akan tiba di Malaysia pada hari perlawanan menentang Penang, malam ini.
Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pengendali dari Singapura itu mengesahkan Atede tetap disenaraikan walaupun terlepas menyertai persiapan pasukan menjelang perlawanan pertama Piala Malaysia di Stadium Bandaraya Pulau Pinang itu.
"Macam mana pun Moses akan berada di dalam pasukan. Paling penting penggantinya tahu tugas yang dibuat Moses sekana selama ini.
"Pemain lagi juga perlu diberikan peluang dan mereka harus tunjukkan yang terbaik tanpa sebarang tekanan," katanya.
Atede merupakan tonggak utama The Cats sejak ditandatangani dalam jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia, Ogos lalu.
Bagaimanapun, pemain naturalisasi Bahrain itu yang memainkan peranan penting di bahagian tengah mempunyai tugasan negara untuk kelayakan Piala Dunia.
Atede mengharungi dua perlawanan bertemu China dan Australia dengan aksi menentang skuad Socceroos berlangsung dua hari lalu.
Dalam masa sama, Adib Ra'op dan Syamer Kutty Abba turut berkemungkinan terlepas dalam barisan utama Penang.
"Kelebihan masih kepada pihak lawan, (malah) mereka bermain di tempat sendiri.
"(Destinasi) Moses beraksi lebih jauh iaitu Timur Tengah berbanding pasukan kebangsaan yang beraksi di India.
"Moses akan sampai pada hari perlawanan, itulah perbezaannya. Kami tidak begitu kepada fokus, (sebaliknya) kami tumpukan corak permainan dan bertahan untuk berdepan Penang. Itu yang paling penting," katanya.