Unifi Piala Malaysia: Nizaruddin ramal JDT-Sabah miliki kelebihan ke final

Shaiful Shamsudin
Januari 16, 2025 19:06 MYT
Pemerhati bola sepak tempatan, Nizaruddin Yusof, memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah selaku finalis Unifi Piala Malaysia 2024/2025.
Jelas bekas penyerang skuad kebangsaan itu, ketekalan dimiliki Harimau Selatan dan Sang Badak terutama dalam saingan Liga Super dilihat bakal jadi pemisah dalam aksi separuh akhir nanti.
Dia, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan keupayaan Terengganu dan Sri Pahang untuk mencipta kejutan meskipun di atas kertas, kedua-dua pasukan ini di jangka berdepan laluan berliku.
Perlawanan separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia bakal menyaksikan Terengganu melayani kunjungan juara bertahan itu di Gong Badak Jumaat ini sementara Sabah menanti kunjungan Sri Pahang di Stadium Likas pada Sabtu ini.
"Kedua-dua perlawanan agak OK. Pasukan yang lolos ke separuh akhir ini adalah pasukan yang tekal.
"Kita boleh agak daripada segi kekuatan dan sejarah dalam lima tahun terakhir ini.
"Peluang JDT lebih besar. Mungkin JDT dan Sabah -- yang sudah lama tidak ke final.
"Dalam lima perlawanan terakhir, kekuatan Sabah tampak menuju ke arah yang betul ke final.
"Saya berharap Sabah dapat turunkan pemain utama, Sabah sebuah pasukan yang kuat, mampu bermain dengan baik seterusnya layak ke final," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
#Piala Malaysia #Liga-M #DemiLigaKita #Unifi Piala Malaysia
;