Unifi Piala Malaysia: Miroslav Kuljanac kecewa KL City gagal manfaat peluang atasi kekurangan Sang Kenari
Saufi Tahir
November 23, 2024 16:33 MYT
November 23, 2024 16:33 MYT
Perkataan 'kecewa' adalah reaksi tepat menggambarkan kekalahan yang terpaksa ditanggung Kuala Lumpur (KL) City selepas tewas 2-3 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) dalam pertemuan pusingan pertama Unifi Piala Malaysia 2024 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
Walaupun pasukan tuan rumah hanya mempunyai 11 pemain di atas padang dan hanya seorang pemain sahaja di bangku simpanan, namun kekurangan itu tidak mampu dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad The City Boys.
Begitupun, dengan hanya jurang satu jaringan perbezaan, pengendali KL City, Miroslav Kuljanac tekad untuk memperbaiki corak permainan ketika bermain di laman sendiri pada 1 Disember depan.
"Kami perlu keluar daripada situasi ini, kami boleh beraksi dengan lebih baik. Sangat kecewa. Saya jangkakan aksi berbeza, saya tidak suka apa yang dipamerkan mereka.
"Bagi saya, kami mempunyai peluang untuk jaringkan gol, kami perlu mengawal permainan terutamanya ketika mendahului.," katanya.
Dalam pada itu, kem KDA pula berlaku sebaliknya buat ketua jurulatih Sang Kenari, Nafuzi Zain, apabila dengan kekurangan pasukannya itu tetap berjaya membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Cheras nanti.
"Jumlah pemain yang ingin bermain malam ini hanya 11 pemain dan 1 simpanan yang kita ada, kita bernasib baik kerana cukup 11 pemain di atas padang. Jika hanya ada kurang pemain pun kita tetap perlu teruskan perlawanan. Kita perlu bersyukur dengan kemenangan ini." tambahnya.