PIALA MALAYSIA
Unifi Piala Malaysia: Magis dalam pembikinan buat Sri Pahang
Sebaik sahaja Sri Pahang berjaya menempa nama isi slot ke final Piala Malaysia semalam, ramai yang menganggap Sri Pahang sedang mencipta magis.
Umum mengetahui kondisi Sri Pahang yang masih dibelenggu dengan masalah kewangan sehingga ada khabar angin mengatakan mereka sudah pun menghantar surat tarik diri dari saingan liga musim depan.
Namun apa yang ditampilkan Sri Pahang semalam sangat kontra.
Iklan
Pemerhati bola sepak tanahair, Safee Sali menegaskan sebaik perlawanan memasuki perebutan slot akhir, segala masalah yang dihadapi pasukan bukan lagi perkara utama yang berada di dalam fikiran.
Sri Pahang membuktikan kenyataan Safee itu benar.
"Walaupun kesulitan yang dihadapi Sri Pahang, mereka menghadirkan permainan yang menarik," katanya menerusi Nadi Arena.
"Perlawanan final sudah pasti akan menghadirkan suasana yang berbeza walaupun berdepan lawan seperti JDT."
Ada istimewanya ulangan final Piala Malaysia kali ini.
11 tahun lalu, Safee antara pemain yang merupakan jentera utama Johor Darul Ta'zim (JDT) di mana ketika itu terpaksa menelan hakikat mereka tewas di tangan Pahang menerusi penentuan penalti.
"Perlawanan terakhir ke final Sri Pahang adalah pada edisi 2014 dan suasana di stadium ketika itu cukup menakjubkan. Saya berharap untuk menyaksikan semula kemeriahan penyokong Tok Gajah yang bakal hadir ke stadium nanti," tambahnya.
Kali ini sebagai pemerhati, penilaian pakar sekali lagi tidak memihak kepada Sri Pahang, apabila Safee sendiri melihat peluang JDT lebih terbuka dalam memburu kejuaraan hatrik Piala Malaysia.
Saingan akhir Piala Malaysia bakal berlangsung April di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Must-Watch Video