Unifi Piala Malaysia: KL Rovers tidak mampu beraksi di laman sendiri - Presiden KLFA
Zaki Zainal
November 19, 2024 18:49 MYT
November 19, 2024 18:49 MYT
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, mengakui aspek kewangan menjadi kekangan utama buat kelab ahli gabungannya, Kuala Lumpur (KL) Rovers, untuk melangsungkan perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2024/2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri.
Dia menzahirkan ucapan terima kasih kepada badan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan JDT yang sudi menerima cadangan menganjurkan kedua-dua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 20 dan 30 November depan.
Syed Yazid dalam perkembangan sama turut percaya skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail yang beraksi dalam kancah Liga A1 Semi Pro itu masih boleh diselamatkan daripada belenggu serta krisis tunggakan gaji yang berterusan.
"KL Rovers memang orang kata tidak berkemampuan untuk bermain di laman sendiri iaitu di Stadium Cheras.
"Segala kos mahu ditanggung. Jadi saya ada mencadangkan dan dalam masa yang sama pihak JDT dan MFL bersetuju untuk pasukan KL Rovers beraksi di SSI.
"Setakat ini secara lisan ada dua syarikat yang saya tahu mengenali KL Rovers. Syarikat itu belum lagi menghantar surat rasmi untuk pembelian saham tapi apa-apapun KLFA akan membantu untuk menapis syarikat-syarikat yang mahu membeli saham KL Rovers." katanya.