Unifi Piala Malaysia: KL City berpesta gol benam Kedah di Cheras
Ammar Hakim
Disember 1, 2024 23:07 MYT
Disember 1, 2024 23:07 MYT
KL City mengganas di Stadium Cheras sekaligus melengkapkan kemaraan ke suku akhir Unifi Piala Malaysia.
Menerima kunjungan Kedah yang memiliki kelebihan daripada kemenangan 3-2 yang diperoleh dalam aksi pertama di Stadium Darul Aman.
Kedah yang kini dikendalikan Victor Andrag, jelas berada dalam tekanan apabila sentiasa diasak KL City.
Selepas bertahan 14 minit, kapten KL, Paulo Josue membuka tirai jaringan sebelum menggandakan jaringan menerusi Jovan Motika untuk menjadikan kedudukan 4-3 secara agregat .
Sebelum menuju ke bilik persalinan, giliran Ryan Lambert mencetak nama selaku penjaring untuk menjadikan kedudukan 3-0 memihak KL City.
Bersambung dalam separuh masa kedua, Kedah akhirnya mendapatkan gol yang dicari menerusi Milos Gordic untuk mengurangkan defisit jaringan.
Ketika mereka terdesak mengasak kubu pertahanan tuan rumah, serangan balas yang dilancarkan membenarkan Zhafri Yahya menoktahkan kemaraan KL City dengan gol keempat sekaligus memastikan mereka menang 6-4 menerusi agregat.