Unifi Piala Malaysia: JDT kena berusaha untuk menang, kata Corbin-Ong

Shaiful Shamsudin
Januari 16, 2025 19:01 MYT
Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), La'Vere Corbin-Ong, menjangkakan tentangan sengit akan ditampilkan Terengganu menjelang separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia di Gong Badak malam esok.
Sedar kelebihan dimiliki Skuad Peteh yang bakal turun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia mereka, Corbin menegaskan dia dan rakan sepasukanya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mencatat keputusan positif bagi mencari bekalan selesa sebelum timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, 1 Februari depan.
Tambah tonggak kebangsaan itu, setiap musim sentiasa hadir dengan cabaran yang berbeza tetapi dia percaya adalah tidak mustahil untuk Harimau Selatan mengekalkan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut.
"Kami perlu jalani persiapan rapi.
"Kami perlu curahkan segala kudrat dalam tiga perlawanan bertemu mereka -- dua dalam Piala Malaysia sementara sekali dalam Liga Super.
"Musim ini sukar, setiap musim adalah mencabar. Kami mahu bersaing dan memenangi setiap gelaran.
"JDT mahu menang dan kami perlu laksanakannya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Untuk rekod, JDT muncul juara Piala Malaysia musim lalu selepas mengetepikan Terengganu 3-1 di pentas final.
#Piala Malaysia #Liga-M #DemiLigaKita #Unifi Piala Malaysia
;