PIALA MALAYSIA
Unifi Piala Malaysia: Ini pasukan yang pernah saya wakili, penyokong hari ini luar biasa -- Jurulatih Sri Pahang
Ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, mengakui faktor penyokong yang memenuhi Stadium Temerloh menjadi pencetus pasukannya ke final Piala Malaysia dengan menewaskan Sabah 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua malam tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi pertama di Likas pertengahan bulan lalu dan 90 minit kedua juga tidak dapat memisahkan mereka apabila sekali lagi terikat 1-1 di Temerloh.
Bagaimanapun, penyerang import, Kpah Sherman, muncul wira Tok Gajah dengan menyudahkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan.
Kehadiran di Stadium Temerloh menyaksikan penyokong Sri Pahang memenuhi segenap tempat duduk penonton, sesuatu yang amat jarang dapat dilihat sepanjang musim ini.
Bagi Fandi, ia akan menjadi sesuatu yang amat merugikan sekiranya mereka tewas dalam pertemuan itu.
"Saya amat bangga dapat membantu Pahang (ke final) kerana ini pasukan yang pernah saya wakili dulu," katanya selepas perlawanan itu.
"Ramai penyokong kami di sini malam ini. Sebelum ini, kami belum pernah dapat walau sehari pun keadaan seperti ini.
"Penyokong hari ini luar biasa, kami tidak boleh mengecewakan mereka, kami pasti kesal jika kami kalah malam ini.
"Kami mahukan kemenangan untuk penyokong kami dan saya rasa bangga dengan setiap pemain," katanya.
Sebagai rekod, Fandi pernah mwakili Pahang sewaktu pemain dari 1991 hingga 1992.