Unifi Piala Malaysia: Hujan lebat rencat Terengganu-Melaka ledak gol
Shaiful Shamsudin
November 29, 2024 23:06 MYT
November 29, 2024 23:06 MYT
TERENGGANU 0 MELAKA 0
Hujan yang turun mencurah-curah di Sultan Mizan Zainal Abidin menyaksikan perlawanan di antara Terengganu dan Melaka sebentar tadi itu kekal dengan agregat 4-1.
Tuan rumah yang membawa bekalan selesa dalam perlawanan kedua pusingan 16 Unifi Piala Malaysia itu buntu mencari penyudah selepas hujan lebat mula turun di penghujung babak pertama.
Safawi Rasid menghasilkan sepakan percuma yang menuju ke tiang gol pelawat sebelum rembatan susulan oleh Safwan Mazlan pula ditampan oleh pertahanan ketika gawang sudah ternganga.
Terengganu cuba melebarkan kelebihan mereka tatkala hujan mulai reda sejurus bersambung babak kedua.
Dan Safawi sekali lagi memiliki peluang di dalam kotak penalti tetapi percubaannya tepat ke arah penjaga gol, Ameerul Eqhwan Fauzi, yang dalam masa turut mempamerkan kecekapan melaksanakan tugasannya.
Selebihnya, lebih banyak gerakan yang tersangkut di atas permukaan padang becak, sekali gus memaksa kedua-dua pasukan kerap melancarkan hantaran jauh dan keputusan kekal hingga wisel penamat.
Kemenangan ini bakal menemukan Sang Penyu dengan Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, pertengahan bulan depan.