PIALA MALAYSIA

Unifi Piala Malaysia: Hari Raya Sri Pahang lebih bermakna

Shaiful Shamsudin 30/03/2025 | 11:43 MYT
Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya lebih bermakna buat barisan pemain Sri Pahang selepas isu tunggakan gaji yang menghantui mereka akhirnya selesai.
Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh, mengesahkan kelab berkenaan sudah membuat pembayaran penuh tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan.
Khabar gembira itu juga tampak jadi satu petanda positif bahawa pasukan yang kaya dengan sejarah Liga Malaysia (Liga-M) ini kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.
Ia susulan kelab Pantai Timur itu dikatakan mahu menarik diri akibat kemelut dalaman seperti yang didedahkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebelum ini.
"Presiden (Sri Pahang), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, mengotakan janjinya untuk melangsaikan semua (tunggakan) gaji.
"(Oleh itu) pemain kena buktikan dalam perlawanan bahawa presiden tidak lepas tangan, baginda buktikan komitmennya.
"Saya percaya Fandi sudah mempersiapkan strategi untuk pertemuan 26 April ini," katanya di Nadi Weekend hari ini.
Lantaran itu, Sri Pahang kini boleh memberi fokus penuh terhadap persiapan bagi merintis ranjau berliku bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di pentas final Unifi Piala Malaysia 26 April ini.
Ia merupakan tonik terbaik buat anak buah Fandi Ahmad itu untuk mencipta keajaiban berdepan Harimau Selatan setelah mereka kehilangan dua tonggak utama, Manuel Hidalgo dan kapten, Kpah Sherman.
"Surat daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengatakan Kpah akan digantung dalam final.
"Saya percaya yang kami bawa dalam Piala Malaysia boleh beri saingan kepada JDT," katanya.
#liga super #Liga-M #Sri Pahang #Unifi Piala Malaysia