Penjaga gol Sri Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin, menafikan faktor kecederaan menjadi punca gawangnya dibolosi Selangor pada penghujung aksi pertama pusingan 16 Unifi Piala Malaysia di Stadium Temerloh malam tadi.
Sebaliknya, pemain itu beranggapan punca sebenar dia dibolosi dengan cara mudah itu adalah disebabkan tersalah agakan, yang mungkin disebabkan keadaan padang berlopak.
Dalam perlawanan itu, Sean Selvaraj meletakkan Tok Gajah di depan pada minit ke-27 tetapi kesilapan Zarif Irfan, yang terlepas bola tandukan Nikola Jambor, menyaksikan tuan rumah terpaksa berpuas hati dengan keputusan 1-1 menjelang aksi kedua di Petaling Jaya hujung minggu depan.
Mengulas mengenai kesilapannya itu, Zarif Irfan berkata kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis: "Mungkin sebab padang ada air, jadi agakan saya agak lari.
"Keadaan di depan gol agak padat dan apabila bola itu jatuh, mungkin ada lopak air di situ, jadi ia agak mengganggu.
"Mungkin jurulatih mahu menukar saya tetapi saya katakan saya OK, jadi saya tidak tahu apa situasinya.
"Kerana saya memang ada mengalami kekejangan di kedua-dua kaki.
"Mungkin kami perlu memperbaiki apa yang perlu dan apabila bermain di sana, kami tidak boleh bolos dan perlu menang," katanya.
Muzaffar Musa
Sun Nov 24 2024