Undian kelayakan Piala Asia: Dominic Tan optimis Harimau Malaya lolos ke pusingan akhir

Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2024 20:14 MYT
Ketua pasukan Harimau Malaya, Dominic Tan, pula menganggap tidak mustahil untuk skuad negara mara ke pusingan akhir Piala Asia Arab Saudi 2027 meskipun diundi dalam Kumpulan F pusingan kelayakan yang akan disertai Vietnam, Laos dan Nepal.
Sedar akan kekuatan yang dimiliki Vietnam, tonggak pertahanan Sabah itu percaya Harimau Malaya turut memiliki keupayaan untuk bersaing untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.
"Setiap perlawanan antarabangsa adalah sukar. Vietnam salah sebuah pasukan yang perlu diberikan perhatian di Asia Tenggara.
"Apa pun setiap perlawanan adalah satu cabaran dan kami mahu berikan yang terbaik," katanya hari ini dalam sidang media Piala ASEAN bertemu Timor-Leste.
Dalam masa sama, Pau Marti Vicente yang akan mengundurkan diri sebaik kempen Piala AMEC berakhir percaya dengan perancangan rapi, Harimau Malaya mampu mencapai misi berkenaan.
"Ia satu laluan yang sukar tapi saya yakini dengan kumpulan pemain ini. Jurulatih tidak mustahak, pemainlah (elemen) yang paling penting.
"Kalau mereka bersatu hati dan bersaing sebagai sebuah pasukan, mereka mampu melaksanakannya," katanya.
Untuk rekod, penampilan Malaysia dalam Piala Asia Qatar Januari lalu berakhir di peringkat kumpulan selepas mencatatkan dua kekalahan serta satu keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan.
#Harimau Malaya #Kelayakan Piala Asia
;