Barcelona mengesahkan Samuel Umtiti telah melanjutkan kontraknya sehingga 2023, sekali gus menamatkan spekulasi dia bakal meninggalkan pasukan.
Semalam, Umtiti dilaporkan bersetuju dengan kontrak lanjutan selama lima tahun sebelum pihak Barca mengadakan sidang media.
Gergasi Catalan itu masih belum mendedahkan klausa perpindahan yang terkandung dalam kontrak tersebut walaupun sebelum ini dia dilaporkan boleh meninggalkan pasukan melalui bayaran pampasan berjumlah EUR60 juta (RM278.5 juta).
Pemain yang tiba dari Lyon pada 2016 itu telah membantu Barca memenangi kejuaaan berganda pada musim 2017/18 sehingga membuatkan Manchester City dan Manchester United berminat untuk menebus kontraknya.
Kini, selepas mengesahkan masa depannya di Camp Nou, dia boleh memberikan sepenuh perhatian bersama skuad kebangsaan Perancis menjelang Piala Dunia 2018 di bawah kendalian Didier Deschamps.
Sebelum ini, Umtiti melaungkan hasrat untuk kekal di Sepanyol dan Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, mendedahkan pihak kelab sedang cuba untuk menyesuaikan situasi pemain pertahanan itu dengan struktur gaji pasukan.
"Jelas sekali saya mahu memperbaharui kontrak bersama Barca dan berharap akan bersama pasukan pada musim depan," kata Umtiti kepada L'Equipe, sebelum ini.
"Saya berada di kelab yang membolehkan saya memenuhi impian untuk beraksi di peringkat tinggi. Saya masih berada di bawah kontrak dan ketika ini, jalan untuk saya meninggalkan pasukan hanya ditendang keluar atau saya membuat keputusan untuk berpindah."
Pembaharuan kontrak itu bermaksud Barcelona kini boleh menarik nafas lega tatkala mereka tidak mahu kehilangan khidmat bek tengah bagi menghadapi saingan musim 2018/19.
Penulis Jemputan
Sun Jun 03 2018