LIGA SUPER MSIA

UiTM FC, Kedah raih kemenangan pertama musim ini

Nafis Abdullah 15/03/2020 | 18:27 MYT
UiTM menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri apabila mencatat kemenangan pertama musim ini dalam saingan Liga Super setelah menundukkan PDRM FA 3-1, semalam.
Aksi di Stadium UiTM Shah Alam menyaksikan skuad kendalian Frank Bernhart itu turun dengan misi balas dendam selepas tewas dalam pertemuan terdahulu dan hanya memerlukan 12 minit selepas sepak mula untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma Rabih Ataya.
Sebelum rehat, tuah terus memihak tuan rumah apabila dihadiahkan sepakan penalti dan Gustavo Dos Santos tenang menyempurnakan tugasan yang diambil untuk menggandakan kedudukan 2-0.
Masih bernafsu memburu gol, UiTM mendahului 3-0 pada minit ke-84 menerusi Zulkiffli Zakaria dan walaupun PDRM meraih jaringan sagu hati pada minit terakhir hasil ledakan Eskandar Ismail, namun ia tidak cukup untuk menghalang tuan rumah melakar kemenangan pertama selepas empat perlawanan.
Dalam satu lagi aksi, Kedah turut meraih kemenangan pertama musim ini selepas mengatasi Selangor 2-0 di Alor Setar.
Jaringan Renan Alves dan Kpah Sherman dalam babak pertama meletakkan anak buah Aidil Sharin Sahak itu menduduki tangga kelapan setakat ini.
Kredit foto: UiTM FC
;