UEL: Tolakan mudah saat akhir Hummels buat Tottenham putih mata
Muzaffar Musa
November 29, 2024 12:00 MYT
November 29, 2024 12:00 MYT
TOTTENHAM HOTSPUR 2 AS ROMA 2
Mats Hummels melakukan tolakan mudah ketika menjaringkan gol kemenangan dramatik AS Roma untuk mengikat Tottenham 2-2 dalam perlawanan Liga Europa (UEL) di London awal pagi tadi.
Spurs, yang masih segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu, kelihatan di posisi terbaik untuk kembali ke landasan kemenangan selepas tewas kepada Galatasaray dalam aksi terakhir peringkat Eropah.
Mereka membuka jaringan seawal minit kelima menerusi sepakan penalti Son Heung-min tetapi Roma jelas tidak memberikan laluan mudah, di mana Paulo Dybala melakukan lintanan gemilang untuk ditanduk masuk Evan Ndicka sebagai gol penyamaan pada minit ke-20.
Dybala terus mempamerkan aksi terbaiknya dengan satu lagi lambungan yang menemui Stephan El Shaarawy tetapi biarpun pemain itu berhasil menggegarkan gawang lawan, ia dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) gara-gara dikesan berada di kedudukan ofsaid.
Brennan Jhonson mengembalikan kegembiraan penyokong Spurs pada minit ke-33 dengan menolak masuk umpanan Dejan Kulusevski.
Bagimanapun, Roma jelas pasukan yang lebih baik dalam separuh masa kedua dan deretan percubaan yang dilakukan mereka membuahkan hasil apabila Hummels mudah menolak masukan lintangan rendah Angelino dalam waktu kecederaan.