(Rangers ke pusingan 16 dengan agregat 6-4)
Ketua jurulatih Rangers, Giovanni van Bronckhorst, menabik barisan pemainnya yang menyingkirkan Borussia Dortmund daripada saingan Liga Europa (UEL) menerusi agregat 6-4 awal pagi tadi dengan menganggapnya sebagai momen terbesar kelab itu.
Berbekalkan kelebihan 4-2 yang diraih dalam perlawanan pertama di Signal Iduna Park minggu lalu, juara bertahan Liga Scotland itu kekal mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan kedua di Ibrox.
Dan mereka terlebih dahulu berada di depan menerusi gol penalti James Tavernier tetapi Jude Bellingham dan Donyell Malen kembali mengecilkan defisit agregat buat Dortmund sebelum waktu rehat.
Malen juga hampir menyamakan kedudukan tetapi Travernier menemui sasaran buat kali kedua sebelum sejam permainan, sekali gus membawa Rangers ke pusingan 16.
"Ia momen yang terbesar buat kelab ini, kami dapat membuat ramai orang berasa bangga memandangkan ia perlawanan yang sukar," kata Van Bronckhorst kepada BT Sport.
"Kami amat tidak bernasib baik dalam beberapa momen di mana kami sepatutnya boleh mengeluarkan bola. Kami perlu menukar sesuatu untuk lebih ampuh sewaktu bertahan.
"(Alfredo) Morelos lebih kuat dalam babak kedua dan kami menghasilkan lebih banyak momen berbahaya.
"Kami berlatih dengan tiga perancangan berbeza bagi perlawanan ini. Kami memerlukan senario yang tepat untuk melaksanakannya dan saya gembira kami berjaya.
"Kami beraksi dengan amat hebat, kami berlawan dua kali dengan mereka dan mendapatkan empat mata -- ia persembahan yang hebat.
"Pusingan 16 hanya untuk pasukan terbaik, kami akan menantikan mereka dan tidak sabar untuk menunggu undian," katanya.
The Boss.#UEL pic.twitter.com/ccAZQIScP3
— Rangers Football Club (@RangersFC) February 24, 2022