UEL: Gol penalti Joao Pedro bawa Brighton ke pusingan kalah mati

Muzaffar Musa
Disember 1, 2023 10:46 MYT
AEK ATHENS 0 BRIGHTON & HOVE ALBION 1
Brighton mengesahkan tempat dalam pusingan kalah mati Liga Europa selepas jaringan penalti Joao Pedro dalam babak kedua memastikan kemenangan 1-0 ke atas 10 pemain AEK Athens.
Penyerang utama Brighton itu menyempurnakan sepakan penalti berkenaan untuk menjaringkan gol kelimanya dalam kejohanan itu pada minit ke-55, sekali gus memastikan The Seagulls menamatkan saingan peringkat Kumpulan B dalam kelompok dua teratas berbaki satu perlawanan.
Albion bukanlah pasukan terbaik dalam perlawanan kali ini sebelum video bantuan pengadil (VAR) memberikan mereka sepakan penalti berikutan insiden kekasaran kapten AEK, Damian Szymanski, ke atas Pedro.
Malang berganda menimpa tuan rumah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-65 selepas Mijat Gacinovic dilayangkan kad kuning kedua.
Pasukan bimbingan Roberto de Zerbi itu seterusnya akan bertemu pendahulu Kumpulan B, Marseille, di laman lawan dua minggu depan bagi perlawanan terakhir, yang juga akan menjadi aksi perebutan tangga teratas dan kelayakan secara terus ke pusingan 16.

FT: ANOTHER FAMOUS ALBION WIN! ? [0-1] ? https://t.co/S3j1TIedJv // #BHAFC ? pic.twitter.com/sQsDDkIu3M

— Brighton & Hove Albion (@OfficialBHAFC) November 30, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bola sepak #AEK Athens #Brighton and Hove Albion #Liga Juara-Juara Eropah
;