UEL

UEL: De Zerbi gembira dengan penampilan Brighton walau tewas kepada AEK Athens

Muzaffar Musa 22/09/2023 | 02:31 MYT
BRIGHTON & HOVE ALBION 2 AEK ATHENS 3
Roberto De Zerbi memuji barisan pemain Brighton dalam bilik persalinan walaupun tewas 2-3 kepada AEK Athens dalam penampilan pertama mereka di peringkat Liga Europa (UEL) awal pagi tadi.
Biarpun mendominasi permainan dan menguasai bola dalam keadaan padang basah dan menyukarkan di Stadium Amex, Brighton tewas kepada AEK, yang kelihatan memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki mereka.
AEK membuka jaringan apabila bek kanan, Djibril Sidibe, melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti sebelum menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-11.
Brighton, bagaimanapun, kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Joao Pedro selepas setengah jam permainan dan mereka sekali lagi menyamakan kedudukan dengan situasi dan penjaring gol sama dalam babak kedua selepas Mijat Gacinovic mengembalikan pendahuluan AEk pada minit ke-40.
Ezequiel Ponce muncul wira pasukan Greece itu apabila menyudahkan satu gerakan serangan balas gemilang pada minit ke-84.
"Kami melepaskan tiga gol," kata De Zerbi selepas perlawanan itu.
"Dua gol daripada gerakan 'set-piece' dan satu gol yang luar biasa.
"Kami melakukan bebrapa kesilapan di bahagian depan padang, sebagai contoh peluang yang dimiliki Joao Pedro dalam babak kedua atau peluang buat Igor Julio dalam babak pertama.
"Tetapi daripada segi kualiti permainan, saya fikir kami bermain dengan amat baik.
"Saya amat berbangga dengan persembahan ini. Saya fikir kami hanya kekurangan pengalaman atau tidak memiliki pengalaman setara AEK Athens," katanya.
#bola sepak #AEK Athens #Brighton and Hove Albion #Liga Europa #Roberto De Zerbi
;