Manchester United kembali ke landasan dengan kemenangan 4-1 ke atas Real Betis pada perlawanan pertama pusingan 16 Liga Europa di Old Trafford.

Hanya beberapa hari selepas diaibkan Liverpool, United yang tidak mengubah kesebelasan utama garang untuk meletakkan sebelah kaki ke suku akhir.

Bagaimanapun, pelawat turut menampilkan taring ketika berdepan pasukan kendalian Erik ten Hag, dengan Ayoze Perez menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama menafikan gol pembukaan Marcus Rashford.

Separuh masa kedua yang kukuh meletakkan United dalam kawalan, ketika Antony menggandakan jaringan buat tuan rumah sebelum Bruno Fernandes meledak gol ketiga.


Dalam usaha Real Betis mengurangkan jurang, United terus mengasak gawang pelawat dan percubaan Scott McTominay berjaya ditampan hanya untuk memberikan Wout Weghorst peluang untuk melengkapkan kemenangan selesa The Reds Devils sekaligus bekalan bagi melangkah ke pusingan suku akhir.