UECL: Chelsea belasah Noah tanpa belas kasihan
Muzaffar Musa
November 8, 2024 11:28 MYT
November 8, 2024 11:28 MYT
CHELSEA 8 NOAH 0
Chelsea mengekalkan rekod sempurna dalam saingan Liga Persidangan Eropah (UECL) dengan membelasah kelab Armenia, Noah, 8-0 di Stamford Bridge awal pagi tadi.
Pasukan bimbingan Enzo Maresca itu merupakan satu daripada enam pasukan dengan rekod kemenangan sempurna sepanjang tiga perlawanan setakat ini tetapi mereka kini menduduki tangga teratas hasil perbezaan jaringan yang besar dengan pasukan lain selepas keraian di laman sendiri itu.
Tosin Adarabioyo menanduk masuk gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-12 sebelum Marc Guiu memanfaatkan kesilapan hantaran Goncalo Silva untuk menggandakan kelebihan itu hanya berselang 84 saat.
Chelsea memperoleh jaringan ketiga hasil sepakan penjuru yang disudahkan Axel Disasi pada minit ke-18 sebelum satu lagi kesilapan pertanahan Noah dieksploitasi Joao Felix.
Mykhailo Mudryk kemudian menambah pendahuluan bergaya Chelsea dengan penyudah lencong yang tepat menuju ke penjuru atas sebelum Felix memperoleh gol kedua peribadinya menjelang ke bilik persalinan.
Christopher Nkunku menjaringkan dua gol dalam separuh masa kedua untuk melengkapkan kemenangan gemilang The Blues.