UCL: Xabi Alonso hormati reputasi Milan

Shaiful Shamsudin
September 30, 2024 06:38 MYT
Bayer Leverkusen berbesar hati untuk berdepan sebuah pasukan dari Milan awal pagi esok, demikian kata Xabi Alonso.
Milan membuat permulaan yang buruk pada musim ini apabila gagal memperoleh sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan pembukaan Serie A, sementara tewas dalam pertemuan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Liverpool.
Bagaimanapun, mereka telah mengubah situasi domestik menerusi tiga kemenangan berturut-turut termasuk ketika membenam juara bertahan Serie A dan seteru bandar, Inter, 2-1.
Milan telah memenangi Piala Eropah/Liga Juara sebanyak tujuh kali, dan Alonso -- yang merupakan sebahagian daripada anggota Liverpool yang terkenal ketika mengatasi skuad Rossoneri menerusi penentuan sepakan penalti dalam final 2005 -- berkata ia adalah satu penghormatan untuk menentang salah satu kelab gergasi di benua itu.
"Ia menjadi asas kerjaya saya. Selepas 20 tahun kami masih bercakap tentang peristiwa malam itu," katanya.

The mood is good. ?? pic.twitter.com/thXttA0bhW

— Bayer 04 Leverkusen (@bayer04_en) September 30, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Dua tahun kemudian kami tewas kepada Milan tetapi kemenangan pada 2005 itu adalah sesuatu yang luar biasa. Kejadian itu berlaku hampir 20 tahun lalu, kami perlu memikirkan tentang esok. Milan sebahagian daripada sejarah UCL.
"Saya sentiasa menggemari Milan kerana melahirkan Arrigo Sacchi, Fabio Capello dan pemain yang hebat yang lain.
"Menentang mereka adalah satu penghormatan besar bagi kami."
#UCL