Pep Guardiola akur Manchester City perlu menyesuaikan diri dengan rumput tiruan apabila mereka bertandang ke Switzerland minggu ini sambil meluahkan bahawa beraksi di atas permukaan rumput sebenar adalah lebih baik.

Mereka akan menghadapi kempen Liga Juara-Juara (UCL) menentang Young Boys di padang sintetik Stadium Wankdorf.

Guardiola menegaskan enggan merungut sambil menjelaskan dia telah mengubah sesi latihan barisannya demi memastikan mereka bersedia.

Lazimnya City tidak turun berlatih dan menguji gelanggang lawan sepanjang kempen di peringkat Eropah, sebaliknya mereka lebih suka mempersiapkan diri di Manchester sebelum melakukan perjalanan.



Bagaimanapun, kali ini City terbang ke Bern lebih awal dan menghabiskan sesi latihan di padang itu pada waktu petang.

Namun, pengurus City itu tidak dapat menyembunyikan perasaannya bahawa dia lebih menggemari permukaan semula jadi.

Bercakap dalam sidang akhbar, pengurus Sepanyol itu berkata: “Begitulah seadanya jika UEFA sudah membenarkan permainan dimainkan di sini kerana ia berada dalam keadaan baik.

“Kami ada sebab untuk tidak pernah berlatih di tempat lawan tetapi kali ini adalah pengecualian. Inilah sebabnya kami bertolak pada waktu pagi untuk membolehkan pemain menyesuaikan diri dan memahami lantunan bola termasuk cara bergerak ke kiri, kanan, ke belakang, ke hadapan.

"Kami akan mencubanya dan pemain akan mengetahuinya dengan segera."