Lionel Messi sudah pun mencapai impian seumur hidupnya apabila menjulang Piala Dunia bersama Argentina tetapi tumpuannya kini beralih kepada misi mengecapi satu lagi kegemilangan hebat di Paris Saint-Germain (PSG).

Pemain berusia 35 tahun itu akhirnya berjaya meraih trofi Piala Dunia yang amat diidam-idamkannya, Disember lalu, selepas memberi inspirasi kepada Albiceleste Lionel Scaloni ke Piala Dunia pertama mereka sejak 1986.

Messi menyumbangkan tujuh gol dalam edisi 2022 itu termasuk dua gol dalam kemenangan final dramatik menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Perancis selain tiga bantuan jaringan.

Bekas pemain Barcelona itu sekali lagi dalam prestasi terbaiknya dan berikrar memastikan tempatnya sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak.

"Nah, ia sangat mengagumkan. Semua yang saya alami sangat bagus, sukar untuk dijelaskan bukan?," kata bintang Argentina itu kepada media PSG.





“Ia adalah impian sepanjang hayat yang menjadi kenyataan dan kami dapat berkongsi kejayaannya di samping rakyat Argentina, cara rakyat Argentina meraikannya.

"Sejujurnya, kami menjangkakan ia menjadi gila-gila tetapi ia berlaku lebih daripada itu.

"Ia adalah detik yang akan kekal bersama kami sepanjang hayat kami, bagi kami yang cukup bertuah untuk beraksi dan untuk semua rakyat Argentina."

Messi yang kian mendapat rentak di ibu negara Perancis itu percaya kejayaan menjulang piala idaman berkenaan tidak akan memudarkan hasratnya untuk menggondol satu lagi gelaran berprestij buat kelab barunya tersebut.

"Saya benar-benar menikmati musim ini seperti yang saya rasai sekarang. Saya rasa sepanjang hidup saya begitu. Dedikasi, kerja keras, usaha dan mahukan lebih lagi setiap hari.

“Kini giliran saya untuk datang ke kelab baru dengan matlamat untuk memenangi kejuaraan bersama PSG, demi mencapai objektif hebat yang kami tetapkan pada awal musim."