UCL
UCL: Lamine Yamal pacu Barcelona bangkit ikat Inter Milan, hidup peluang ke final
Barcelona terpaksa bangkit untuk mengikat Inter Milan 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Estadi Olimpic Lluis Companys awal pagi tadi.
Perlawanan epik itu mula hangat seawal 30 saat pertama apabila Marcus Thuram menjaringkan gol paling cepat dalam sejarah separuh akhir kejohanan itu.
Biarpun dipacu aksi cemerlang Lamine Yamal, Barca perlu bangkit sebanyak dua kali demi memastikan mereka ke perlawanan kedua dengan keputusan setara.
Iklan
Selepas membatu gol pembukaan Thuram pada awal permainan, Denzel Dumfries kemudian meletakkan dirinya sebagai penjaring untuk pelawat mendahului 2-0 pada minit ke-21.
Bagaimanapun, Yamal merapatkan jurang itu hanya berselang tiga minit sebelum Ferran Torres memastikan Barca sempat menyamakan kedudukan 2-2 sebelum ke bilik persalinan.
Dumfries sekali lagi meletakkan Inter di depan pada minit ke-63 tetapi Barca hanya memerlukan 114 saat untuk sekali lagi menyamakan kedudukan apabila percubaan Raphinha terkena palang sebelum melantun ke badan Yann Sommer dan menuju ke gawang Inter.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu bagi penentuan ke final di San Siro pada awal pagi Khamis depan.
Must-Watch Video