PORTO 0 INTER MILAN 0
(Inter ke suku akhir dengan kelebihan agregat 1-0)

Inter Milan melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad apabila mengekalkan kelebihan agregat 1-0 ke atas Porto awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu, yang menang 1-0 dalam perlawanan pertama pusingan 16 di San Siro tiga minggu lalu, jelas bergelut untuk menghasilkan gol di Estadio do Dragao tetapi keputusan tanpa jaringan itu sudah cukup untuk mereka meneruskan kemaraan.

Ia menyaksikan Nerazurri menamatkan penantian untuk ke suku akhir kejohanan tertinggi kelab Eropah itu selepas kali terakhir melakukannnya dalam edisi 2010-11.

Biarpun mendapat beberapa peluang terhidang menuju ke penghujung permainan, Porto -- yang kehilangan seorang pemain selepas Pepe dilayangkan kad kuning kedua dalam waktu kecederaan -- tidak dapat menyudahkan sebarang peluang terbaik mereka, sekali gus gagal menamatkan kemarau ke suku akhir sejak lima tahun lalu.