UCL
UCL: Chelsea ketepi khidmat Pierre-Emerick Aubameyang
Nama Pierre-Emerick Aubameyang digugurkan daripada skuad Chelsea untuk menghadapi pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).
Pengurus The Blues, Graham Potter, sebaliknya membawa masuk trio rekrut baharu iaitu Joao Felix, Enzo Fernandez dan Mykhailo Mudryk.
Tindakan dramatik menyingkirkan Aubameyang itu mencerminkan kemerosotan status penyerang tersebut bersama The Blues yang kali terakhir menyaksikannya memulakan perlawanan pada November lalu.
Iklan
Potter memberi amaran bahawa pasti akan timbul perbualan "janggal" pada masa hadapan tatkala dia memuktamadkan barisannya untuk baki kempen Chelsea di Eropah, malah cukup yakin dengan tindakan mengetepikan tonggak berusia 33 tahun itu.
Bekas penggempur Arsenal dan Barcelona itu melakar tiga gol musim ini dalam 18 penampilan dan 10 daripadanya dalam barisan utama, lantas ketiadaannya menyebabkan Chelsea tempang tanpa penyerang utama.
Aubameyang bermula dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan UCL dan menghasilkan dua gol dalam dua pertemuan menentang Milan.
Potter sebaliknya meletakkan kepercayaannya kepada Kai Havertz yang telah menghabiskan sebahagian besar kariernya sebagai pemain tengah menyerang selain pemain pinjaman daripada Atletico Madrid, Joao Felix, dan Mudryk, yang baru dipancing daripada Shakhtar Donetsk.
Raheem Sterling, yang dinamakan sebagai pemain tengah dalam senarai skuad Chelsea, juga merupakan satu lagi pilihan untuk mengisi posisi depan.
Chelsea bakal berhitung dengan Borussia Dortmund di peringkat 16 UCL dalam tempoh dua minggu lagi.
Must-Watch Video