UCL: Bakal pengurus United belasah City, Gyokeres terbukti lebih handal daripada Haaland
Muzaffar Musa
November 6, 2024 10:48 MYT
November 6, 2024 10:48 MYT
SPORTING 4 MANCHESTER CITY 1
Ruben Amorim menandakan perlawanan terakhirnya bersama Sporting CP dengan cukup bergaya apabila Victor Gyokeres menjaringkan hatrik ketika membelasah Manchester City 4-1 di Lisbon awal pagi tadi.
Amorim -- yang akan bertindak sebagai pengurus baru Manchester United minggu depan -- mendorong pasukannya mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas Phil Foden terlebih dahulu meletakkan pelawat bimbingan Pep Guardiola itu di depan seawal minit keempat.
Bagaimanapun, Gyokeres memastikan perlawanan kali ini menjadi pentas untuk dia lebih menyerlah berbanding penyerang City, Erling Haaland, bermula dengan menjaringkan gol penyamaan dengan lambungan gemilangnya yang menewaskan Ederson pada minit ke-38 -- golnya yang ke-21 dalam semua pertandingan musim ini.
City kemudian berdepan keruntuhan prestasi dalam babak kedua selepas Maximiliano Araujo menjaringkan gol pantas tidak sampai seminit selepas perlawanan bersambung sebelum Gyokeres menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi sepakan penalti susulan insiden Josko Gvardiol mengasari Francisco Trincao.
Haaland turut memiliki peluang sepakan penalty untuk merapatkan jurang buat City selepas bola dikesan terkena tangan Ousmane Diomande tetapi tendangannya sekadar menggegarkan palang gol.
Gyokeres kemudian memastikan bola perlawanan itu menjadi miliknya dengan menyempurnakan satu lagi sepakan penalti pada minit ke-80.
Amorim, yang akan tiba di Old Trafford pada 11 November ini, meninggalkan Sporting dengan keadaan yang cukup selesa, di mana mereka kini menduduki tangga kedua UCL dengan 10 mata daripada empat perlawnaan.
City, dalam pada itu, terpaksa menelan kekalahan pertama dalam UCL musim ini untuk menduduki tangga keenam dengan tujuh mata.