UCL

UCL: Arsenal selangkah mara ke pusingan 16 terbaik

Saufi Tahir 23/01/2025 | 00:42 MYT
ARSENAL 3 DINAMO ZAGREB 0
Arsenal semakin hampir untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas melakar kemenangan selesa 3-0 menewaskan Dinamo Zagreb di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Declan Rice, Kai Havertz dan Martin Odegaard menjadi watak penting kemenangan The Gunners selepas masing-masing menjaringkan gol bagi membantu pasukannya memperkukuhkan status dalam kelompok lapan kelab teratas.
Declan Rice terlebih dahulu membuka jaringan buat pasukan tuan rumah -jaringan pertamanya dalam saingan UCL- seawal minit kedua perlawanan apabila menolak masuk bola hasil gerakan Gabriel Martinelli untuk menewaskan Ivan Nevistic, dan keputusan 1-0 itu kekal hingga babak pertama berakhir.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu, ketajaman tandukan Havertz di hadapan gawang menghukum pasukan pelawat untuk meletakkan Arsenal selesa mendahului 2-0 pada minit ke-66 dengan hantaran Martinelli sekali lagi menyukarkan pasukan lawan, sebelum Odegaard menambah satu lagi gol dalam minit kecederaan untuk mendahului 3-0.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal melangkah ke tangga ketiga dalam carta liga UCL dan hanya memerlukan satu mata sahaja lagi menerusi perlawanan terakhir berdepan Girona untuk menampah slot secara automatik ke pusingan seterusnya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Untuk rekod, tiada kelab yang memenangi lebih banyak perlawanan di tempat sendiri (lapan) dalam saingan UCL dan gol pembukaan Rice selepas 104 saat aksi berlangsung merupakan gol terawal Arsenal dalam kempen UCL sejak November 2014 ketika Yaya Sanogo menjaringkan gol selepas 72 saat aksi bermula ketika berdepan Borussia Dortmund.
#bola sepak #Arsenal #UCL
;