UCL: Arsenal hadapi kelewatan perjalanan menjelang pertemuan dengan Lens

Kamal Nizam
Oktober 3, 2023 09:49 MYT
Persiapan Arsenal bagi perlawanan pertama Liga Juara-juara Eropah (UCL) sejak 2016 tergendala akibat kelewatan perjalan ke tempat lawan.
Perkara itu mengakibatkan skuad Mikel Arteta itu, yang akan menghadapi Lens dalam pertemuan kumpulan B di Stade Bollaert-Delelis awal pagi esok, terpaksa membatalkan sidang media praperlawanan mereka.
Pengurus Arsenal itu masih belum sempat bertemu dengan media apabila penerbangan mereka tidak dibenarkan untuk berlepas di Lapangan Terbang Luton.
The Gunners sudah berlatih di London Colney sebelum ke Perancis pada tengahari semalam tetapi cuaca yang kurang baik memaksa mereka untuk membatalkan perjalanan.
Agensi berita PA mendedahka Arsenal tidak akan dihukum kerena pembatalan yang berlaku di luar kuasa mereka - dengan pasukan itu sudah pun menunggu tiga jam di Luton sebelum dibenarkan menaiki pesawat.
Antara yang tersangkut di Luton adalah Bukayo Saka - yang cergas untuk bersama pasukannya ke Perancis walaupun menghadapi kecederaan ketika menentang Bournemouth pada Sabtu lalu - selain Thomas Partey.
Partey dipinggirkan sejak Ogos lalu gara-gara kecederaan kelangkang dan pasukan itu berharap dia akan dapat kembali menjelang pertemuan dengan Manchester City hujung minggu ini.
“Dia dalam proses pemulihan yang baik sejak dua minggu lalu dan dapat berlatih dalam dua atau tiga hari terakhir bersama pasukan ini dan itu adalah berita baik buat kami,” kata Arteta mengenai pemain antarabangsa Ghana itu.
“Saya rasa perkembangannya sangat baik sejak minggu lalu. Dia mungkin akan diturunkan esok bergantung bagaimana keadaan perlawanan itu berlangsung.”
Arteta dan Saliba sudah pun bercakap dengan beberapa wartawan melalui telefon dan mereka menegaskan segalanya akan berjalan lancar menjelang perlawanan itu.
Ditanya jika dia yakin pasukannya masih mampu berada dalam keadaan terbaik, dia menjawab: "Ya, sudah tentu. Kami harus sampai ke sana dahulu tetapi esok adalah hari yang berbeza dan kami akan berikan yang terbaik menentang Lens.
“Ia adalah perasaan yang sangat baik. Perlawanan kedua saya dalam Liga Juara-Juara bersama Arsenal. Saya tidak sabar untuk bermain di Perancis, jadi ia adalah perasaan yang baik.
"Kami tahu ia bukan perlawanan yang mudah. Mereka adalah pasukan yang baik selepas meraih tempat kedua liga musim lalu.
"Mereka tidak bermula dengan baik tetapi dalam dua atau tiga perlawanan lalu, mereka lebih baik, jadi kami perlu fokus untuk esok dan memberikan yang terbaik."
#Arsenal #Lens #Liga Juara-Juara Eropah #Mikel Areta
;