Ubi muda JDT pertahan gelaran Piala Remaja KPM-FAM
Saufi Tahir
Disember 2, 2024 14:37 MYT
Disember 2, 2024 14:37 MYT
SMK Taman Desa yang juga Akademi Johor Darul Takzim (JDT) B-17 mempertahankan gelaran juara Kejohanan Liga Piala Remaja KPM-FAM B-17 kali kedua berturut-turut selepas melakar kemenangan tipis menewaskan SMK Mutiara Impian 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Sabtu lalu.
Beraksi di laman sendiri ternyata skuad kendalian Pau Valldecabres Gimeno memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu apabila berada di depan dalam awal permainan menerusi penyudah Abid Safaraz Rozaidi tetapi dibatalkan kerana ofsaid.
Namun, kekecewaan itu tidak meruntuhkan moral pemain dengan usaha bertali arus akhirnya menyaksikan Arrayan Hakeem Norizam mencetak nama selaku penjaring selepas menoktahkan hantaran silang Muhd Nur Hakim Mohd Irwan sebelum melepaskan rembatan rendah untuk menewaskan penjaga gol SMK Mutiara Impian, Mohd Hafiz Hazwan Aziz Jaafar di minit ke-35.
Kedua dua pasukan mempamerkan permainan yang cukup baik dengan deretan serangan ke kubu lawan memaksa penjaga gol SMK Taman Desa, Muhd Naqqiudin Zamzuri, dan Mohd Hafiz Hazwan Aziz Jaafar, yang mengemudi gawang SMK Mutiara Impian bekerja keras sepanjang perlawanan.
Begitupun, tiada pertambahan jaringan dihasilkan menyaksikan SMK Taman Desa sah mempertahankan kejuaraan untuk kali kedua berturut turut.
Pau Valldecabres memuji permainan yang ditonjolkan oleh pasukan pelawat kerana banyak memberi tekanan ke atas anak didiknya sepanjang perlawanan.
"Kami (Akademi JDT) sentiasa mahu meningkatkan mutu permainan setiap masa. Kami berpuas hati kerana menjadi juara tetapi kami tahu mampu untuk bermain dengan lebih baik.
"Kami perlu ucapkan tahniah kepada pasukan Pulau Pinang (SMK Mutiara Impian) kerana mereka adalah pasukan yang baik dan tidak mudah bermain di final,”kata Pau Valldecabres
Untuk rekod, pada 2023, Akademi JDT B-17 turut melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Tambah Pau Valldecabres lagi: "fokus pemain pemain ini adalah untuk mengharungi saingan Piala Belia 2025 dan mereka perlu berusaha untuk mencari kemenangan kerana itulah misi JDT, mencari kemenangan,"
Dalam pada itu, ketua jurulatih SMK Mutiara Impian, Noraffendi Taib, menyifatkan kesilapan kecil menghukum pasukan namun pemain pemain tetap memberikan tentangan dan menyerap setiap asakan JDT.
"Kesilapan kecil di awal permainan menghukum kami tetapi berjaya untuk bangkit. Walaupun hujan, tetapi kami tetap memberikan permainan yang sengit dan (JDT) dibarisi pemain pemain kebangsaan, kami menyerap tekanan dan berserah kepada takdir.
"Kita memiliki dua atau tiga peluang tetapi tidak dimanfaatkan dan JDT bijak menggunakan peluang yag ada." kata Noraffendi.
SMK Tama Desa turut merangkul dua anugerah, iaitu Penjaga Gol Terbaik yang dimenangi Muhammad Naqqiudin Zamzuri dan Abid Safaraz Rozaidi yang dipilih sebagai penerima Anugerah Pemain Paling Bernilai.