Tunggakan gaji Sarawak United dalam perhatian AFL

Shaiful Shamsudin
April 2, 2023 19:49 MYT
Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Amateur (AFL), Mohd Raimi Fakri, menegaskan pihaknya mengambil maklum mengenai isu tunggakan gaji Sarawak United yang masih belum menemui jalan penyelesaian ketika ini.
Jelasnya, segala tindakan atau hukuman hanya akan diputuskan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan akan dimaklumkan kepada ahli gabungan mereka iaitu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Sehingga kini, AFL selaku badan penganjur saingan Piala MFL belum menerima makluman mengenai sebarang bentuk hukuman yang mungkin dikenakan ke atas Sarawak United.
Tambah Raimi, AFL sentiasa memantau serta menitikberatkan soal kebajikan pemain dan pegawai kelab yang beraksi dala kancah Liga M3 itu.
"Sebelum liga bermula, AFL dan Sarawak United sempat mengadakan perbincangan berkenaan kedudukan kewangan dan tunggakan gaji.
"Mereka sepatutnya selesaikan perkara berbangkit pada tarikh akhirnya bulan lalu.
"Kami pun masih belum jelas sejauh mana tunggakan gaji itu diselesaikan.
"Buat masa ini kami belum terima sebarang hukuman daripada FIFA dan setakat ini mereka dikenakan sekatan mendaftarkan pemain baru sahajalah," jelasnya di Nadi Weekend sebentar tadi.
#Sarawak United #Piala MFL #DemiLigaKita
;