Tujuh bulan gaji tak berbayar, Paulo Josue akhirnya bersuara!
Julai 8, 2024 16:57 MYT
Dalam ketika semua pasukan boleh dikatakan sedang menarik nafas lega selepas baru saja melepasi pelbagai halangan untuk mempersiapkan diri bagi mengahadapi musim Liga Super 2024/25, siapa sangka ada lagi kisah malang pemain yang tidak dibayar gaji berkumandang.
Terbaharu pemain KL City, Paolo Josue didakwa sudah tujuh bulan tidak dibayar gaji oleh kelab tersebut sehingga kini.
Pemain berasal dari Brazil itu mendakwa bahawa, dia sendiri sebenarnya sudah tidak mengingati bilakah tarikh tepat yang terakhir dia dibayar gaji oleh KL City kerana disebabkan terlalu lama dia bermain secara percuma untuk kelab tersebut.
Bahkan jelas pemain bernasib malang itu lagi, ketika ini beliau terpaksa menampung kehidupan harianya dengan menggunakan wang simpanan peribadinya untuk meneruskan kelangsungan hidup.
"Ada pemain KL City mengalami tunggakan gaji sejak Mac lalu namun situasi tersebut tidaklah seteruk saya kerana kali terakhir dibayar adalah pada Disember tahun lalu," katanya kepada media.
Menurutnya lagi, beliau pernah berbincang dengan pihak pengurusan KL City untuk mencari jalan penyelesaian terbaik untuk keluar dari kemelut itu namun hanya dihidangkan dengan janji yang akhirnya kosong semata.
"Itu semua janji palsu kerana mereka tidak pernah membayarnya! Ramai bertanya sudah tujuh bulan (tertunggak) mengapa masih bersama KL City lagi?..saya kekal kerana sayangkan pasukan," jelasnya lagi.
Astro Arena sudah mencuba mendapatkan penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernard, dan satu pertemuan akan diadakan esok.