Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, mengakui gusar mengenai pemainnya, Christian Pulisic, akan terlalu dikerah oleh skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dalam waktu rehat antarabangsa kali ini.

Pulisic melakukan dua penampilan sebagai pemain gantian di Chelsea selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang dialaminya sewaktu bersama AS pada September lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu beraksi selama 16 minit ketika menewaskan Malmo dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu selain diturunkan pada lima minit terakhir sewaktu Chelsea terikat 1-1 dengan Burnley dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu lalu.

Dia tidak mengalami sebarang kecederaan berulang dalam kedua-dua perlawanan itu dan kini tersenarai untuk mewakili negaranya dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Mexico dan Jamaica sepanjang dua minggu ini.

Tuchel, bagaimanapun, menggesa agar Pulisic tidak terlalu dikerah bagi memberikan ruang untuk kecederaan buku lali itu -- yang telah mengakibatkan dia hanya dapat melakukan empat penampilan peringkat kelab sepanjang musim 2021-22 -- pulih sepenuhnya.



"Saya fikir anda dapat lihat daripada minit permainan yang diperolehnya, kemudian persoalan mengenai adakah dia berada di tahap kecergasan terbaik sudahpun terjawab," kata Tuchel.

"Christian memerlukan masa kerana dia sudah berehat panjang musim ini tetapi dia sedang kembali ke tahap sebenar dan melakukannya dengan baik.

"Saya harap pasukan kebangsaan AS akan bertanggungjawab dan tidak terlalu mengerahkan khidmatnya dalam perlawanan antarabangsa.

"Christian sudah pasti berasa sedikit kesakitan, dia sememangnya mahu kembali cergas sepenuhnya dan kembali ke tahap prestasi seperti sebelum ini.

"Ia tentang menguruskan kesakitan di buku lalinya, bukan mengenai kecederaan berulang atau sesuatu seperti itu. Ia mengenai dia masih berasa sakit.

"Dia benar-benar mahu kembali dan kami juga memerlukannya kerana dia pemain yang besar buat kami.

"Dia berusaha dengan amat gigih dalam beberapa perlawanan terakhir dan ia merupakan permulaan yang baik untuknya ketika menentang Malmo dan dia juga dapat bermain selama 10 minit sewaktu bertemu Burnley.

"Saya perlu katakan yang kami sentiasa gusar apabila pemain kami mewakili pasukan kebangsaan mereka.

"Ia di luar kawalan kami tetapi ia juga tanggungjawab mereka untuk memastikan Christian tidak terlalu dikerah," katanya.