LIGUE 1
Trophee des Champions: Tuchel enggan ambil risiko pertaruh Neymar
Paris Saint-Germain (PSG) tidak akan mengambil risiko menurunkan Neymar, Thiago Silva dan Marquinhos dalam perebutan Trophee des Champions menentang AS Monaco (jam 8) malam ini, kata jurulatih, Thomas Tuchel.
Trio Brazil itu kembali melaporkan diri bersama PSG minggu ini selepas diberikan cuti berikutan terbabit dengan kempen Piala Dunia 2018.
Neymar belum beraksi untuk PSG sejak jari kakinya patah pada Februari lalu, kecederaan yang menggugat kecemerlangannya pada awal musim sehingga mencetuskan keraguan terhadap penampilannya di Russia.
Beberapa bulan selepas dilanda kecederaan tersebut, laporan hangat mengatakan kerjaya Neymar di PSG sudah berakhir sebelum dia menutup khabar angin yang mengaitkannya dengan Real Madrid.
Dia kini bersama-sama dengan rakan sepasukannya di Shenzhen menjelang aksi pembuka tirai. Justeru, Tuchel berhasrat untuk mengambil pendekatan berhati-hati.
"Saya cukup gembira kerana mereka berada di sini di samping rakan sepasukan," kata Tuchel dalam sidang akhbar di China semalam.
"Ia sangat penting. Meskipun Thiago tiba lebih awal, saya tidak akan mengambil sebarang risiko ke atas mereka. Tugas saya adalah untuk menjaga mereka, saya mesti berhati-hati dengan mereka.
"Saya mempunyai idea tentang apa yang saya mahukan sempena menghadapi Monaco tetapi saya tidak akan memberitahu anda. Saya akan bercakap dengan pemain.
"Saya perlu mengambil kira latihan pada petang ini (Jumaat), ini merangkumi perjalanan mereka, pertukaran zon masa serta kualiti tidur mereka. Mereka mampu bermain tetapi saya tidak tahu berapa lama boleh bertahan."
Ketua pasukan, Silva, mengakui PSG tidak 100 peratus bersedia secara fizikal untuk menghadapi Monaco.
"Trophee des Champios adalah pentas istimewa untuk memulakan musim ini," katanya. "Kami sudah biasa memenanginya dan kami akan cuba melakukannya sekali lagi.
"Kami perlu memberikan segala-galanya kerana ia akan menjadi sangat sukar, fizikal kami tidak berada di tahap 100 peratus, namun mental kami kuat.
"Monaco merupakan masalah bagi kami dan ia akan menjadi lebih teruk kerana kami tidak bersedia 100 peratus."