LIGUE 1

Trophee des Champions: Sarabia raih pujian Tuchel

Penulis Jemputan 04/08/2019 | 01:37 MYT
PSG 2 RENNES 1
Thomas Tuchel memuji keberkesan awal yang ditonjolkan muka baru, Pablo Sarabia, susulan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Rennes dalam Trophee des Champions sambil terus bersabar dengan Ander Herrera.
Pemain tengah Sepanyol, Sarabia, tiba daripada Sevilla dengan yuran €18 juta (RM83.2j) bulan lalu dan mencetuskan kekaguman dalam penampilan rasmi pertamanya, awal pagi tadi.
Pemain berusia 27 tahun itu mencipta gerakan gol untuk Kylian Mbappe menyamakan kedudukan buat PSG pada minit ke-57, dan juara Ligue 1 itu akhirnya menjamin kemenangan 2-1 hasil sentuhan Angel Di Maria.
Rakan senegaranya, Herrera, turut diturunkan selepas tiba secara percuma daripada Manchester United tetapi dikeluarkan selepas sejam permainan dan digantikan dengan Di Maria.
Sehubungan itu, Tuchel mengakui pemain tengah berkenaan masih perlu memperbaiki aspek permainannya.
"Kita dapat lihat mentaliti mereka dalam keadaan baik," kata Tuchel kepada pemberita selepas perlawanan.
"Herrera belum dapat menyesuaikan diri. Permainan kami berbeza dengan Manchester United, jadi dia harus menyesuaikan diri dengan gaya permainan kami.
"Pablo sangat mengagumkan, dia bermain dengan baik, dengan dan tanpa bola. Gerakannya tanpa bola merupakan contoh yang bagus. Dia bermain dengan keamatan yang tinggi dan tidak henti-henti membantu pertahanan."
Pertahanan tengah, Marquinhos, sekali lagi memperkuatkan bahagian tengah -- peranan yang sering dimainkannya pada masa lalu -- ekoran kekurangan pilihan untuk PSG bertahan dalam kedudukan itu.
Dengan kehadiran bekas pemain Everton, Idrissa Gueye, Tuchel berharap Marquinhos akan kembali ke posisi itu dengan lebih kerap.
"Saya mengharapkannya. Itu bermakna Idrissa bermain di tahap seperti yang kami harapkan," kata Tuchel. "Dia (Gueye) amat sesuai dengan peranan nombor 6 ini.
"Begitupun, Marquinhos, merupakan watak penting di atas padang. Dia baru sahaja mengharungi tiga sesi latihan dan sudah pun beraksi seperti itu, ia sesuatu yang luar biasa.
"Saya menggemarinya di bahagian tengah kerana dia berfikir tentang cara yang betul dan kualiti hantarannya lebih tinggi."
;