Skip to main content

Bola Sepak

Trio import Merah Kuning sempat pulih hadapi Tok Gajah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rufino-segovia.jpg
Jurulatih Selangor, P. Maniam, mengharapkan tempoh rehat 10 hari saingan Liga Malaysia (Liga M) memadai untuk tiga pemain importnya melewati proses pemulihan yang sempurna. 

Kecederaan Evan Dimas, Rufino Segovia dan Ilham Udin Armaiyn antara faktor yang menyumbang kepada prestasi kurang mantap Selangor di Kuala Terengganu. 

Maniam menganggap tempoh waktu yang ada cukup untuk ketiga-tiga pemain itu berada dalam kecergasan terbaik mereka menjelang aksi penting bertemu Pahang, 24 Februari nanti. 

"Kami ditimpa masalah kecederaan melibatkan Evan, Rufino dan lham.

"Mereka menjalani program pemulihan sepanjang minggu ini bagi membolehkan mereka menghadapi Pahang," ujar Maniam. 

Pada ketika Selangor mengejar kedudukan terbaik liga, Maniam tidak rela tragedi di Kuala Terengganu berulang menjelang aksi berdepan anak buah Dollah Salleh itu. 

"Kami cuba memperbaiki kesilapan lalu. Kami sudah menonton rakaman aksi terakhir, pemain faham dan mahu memastikan ia tidak berulang lagi. 

"Kami menjalani persiapan lebih baik untuk bertemu Pahang. Kami perlu bermain bersungguh-sungguh dan bersemangat," katanya lagi.  

Selain tiga import itu, pemain tengah, Azamuddin Akil, masih dibelenggu kecederaan dan belum dapat dipastikan kemunculannya menjelang aksi dengan pasukan negeri kelahirannya kelak. 

Advertisement

Must Watch Video