EPL
Trent Alexander-Arnold layak dihormati penyokong -- Kapten Liverpool
Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, percaya penyokong wajar menghormati Trent Alexander-Arnold atas khidmatnya kepada pasukan sejak sembilan tahun lalu.
Alexander-Arnold telah mencipta sensasi bersama The Reds sejak menamatkan latihan di akademi mereka pada 2016, dan menjadi tonggak penting dalam kejayaan Jurgen Klopp di Anfield sebelum ini.
Pemain pertahanan itu menandakan kepulangannya daripada kecederaan dengan menjaringkan gol kemenangan berdepan Leicester City kelmarin, sekali gus meletakkan Liverpool di ambang merebut gelaran juara liga.
Iklan
Terdahulu, pemain berusia 26 tahun itu dikritik penyokong pasukan itu susulan spekulasi dia bakal berkelana ke Real Madrid secara percuma.
"Apa sahaja yang mungkin berlaku pada masa depan untuknya, itu adalah sesuatu yang dia perlu selesaikan dengan dirinya dan keluarga, tetapi dia adalah pemain Liverpool pada ketika ini dan dia penting buat pasukan.
"Dia penting sepanjang musim dan hari ini sekali lagi dia kembali daripada kecederaan, dan perkara itu membuatkan saya gembira.
"Apabila dia menjaringkan gol seperti itu, saya fikir dia patut mendapat tepukan. Sejak menyertai kelab, dia adalah pemain yang hebat dan terdapat banyak perkara baik yang dia akan sentiasa diingati jika dia memutuskan untuk pergi." katanya.
Must-Watch Video