Skip to main content

Bola Sepak

Tottenham masih tagih khidmat Eric Dier

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

eric-dier.jpg
Pengurus Tottenham, Ange Postecoglou, menegaskan bahawa Eric Dier kekal sebahagian daripada skuad itu di sebalik ketiadaan kelibatnya ketika seri 2-2 di Brentford, semalam. 

Dier merupakan salah seorang daripada beberapa pemain senior yang tersisih termasuk Hugo Lloris, Djed Spence, Japhet Tanganga, Sergio Reguilon dan Tanguy Ndombele.

Postecoglou secara jujurnya menyatakan keperluan Tottenham agar melepaskan pemain pada minggu-minggu terakhir jendela perpindahan, tetapi Dier bukan sebahagian daripadanya. 

Dier dikaitkan ke kancah Arab Saudi tatkala kelibatnya masih kelihatan menjalani latihan di Hotspur Way, namun pemain itu mungkin perlu menilai semula kedudukannya memandangkan dia kini merupakan pilihan kelima sebagai bek tengah.

“Eric adalah sebahagian daripada pasukan ini. Kami terpaksa menyisihkannya buat seketika," kata Postecoglou.

 

“Kami meletakkan beberapa pemain bagus di bangku simpanan. Kami memerlukan skuad yang mantap dan ia bukan berkisarkan 11 pemain sahaja.

“Eric berada dalam perancangan kami. Dia bekerja keras dalam sesi latihan dan bersedia untuk dipilih.

“Keputusan terletak di tangan saya demi peluang terbaik untuk berjaya dalam mana-mana perlawanan, kemudian kami perlu menilai semula selepas itu. Tiada apa yang luar biasa mengenainya.”

Dier merupakan pemain sandaran kepada bekas pengurus, Antonio Conte, dengan membuat 42 penampilan sepanjang musim lalu.

Advertisement

Must Watch Video