Skip to main content

Bola Sepak

Tottenham lakukan segalanya untuk atasi Colchester -- Pochettino

poch.jpg
COLCHESTER 0 TOTTENHAM 0
(Colchester menang penalti 4-3)

Mauricio Pochettino cuba untuk menjelaskan kekalahan Tottenham Hotspur di tangan Colchester United dalam penentuan sepakan penalti ketika pusingan ketiga Piala EFL, awal pagi tadi.


Colchester mengecewakan Spurs tanpa jaringan dalam aksi 90 minit, dengan mengekang usaha lawan daripada Liga Perdana Inggeris itu sambil sentiasa membuatkan Davinson Sanchez dan Eric Dier sibuk sepanjang perlawanan.

Perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti dan Christian Eriksen menyaksikan usahanya dinafikan oleh Dean Gerken sebelum Lucas Moura melepaskan sepakan yang mengenai palang untuk mereka tewas 4-3.

Pochettino menjelaskan tiada keinginan untuk mara daripada pasukannya dan tidak memberikan sebarang alasan selepas disingkirkan.

"Pertama, tahniah buat Colchester," katanya.

"Mereka menampilkan aksi hebat dan sudah tentu sukar untuk kami menterjemahkan permainan sebenar.

"Kami kecewa gagal menghasilkan gol dalam 90 minit dan ketika aksi penalti. Mereka menundukkan Crystal Palace dalam pusingan sebelumnya, jadi itu mampu berlaku.

"Dalam saingan seperti ini, semua perkara boleh berlaku tetapi kami kecewa kerana mahu mara lebih jauh. Kami tersingkir dan ia tidak dapat dijelaskan," katanya lagi.

Keputusan itu menyaksikan Spurs hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh aksi terakhir bagi semua kejohanan dan prestasi di tempat lawan dilihat menjadi penghalang utama.

Sejak Januari lalu, Spurs hanya menang dua perlawanan di tempat lawan, iaitu menewaskan Borussia Dortmund 1-0 pada Mac lalu dan menang 3-2 ke atas Ajax, dua bulan kemudian.

Pochettino berkata: "Kami memiliki peluang tetapi tidak berupaya menghasilkan gol. Kemudian, tewas ketika penentuan sepakan penalti. Sudah tentu kami kecewa.

"Kami kecewa kerana penting untuk berada dalam semua kejohanan dan mencabar trofi. Kami lakukan segalanya hari ini tetapi tidak boleh merungut.

"Kami hanya tidak menjaringkan gol dan tewas dalam penentuan sepakan penalti."

Advertisement

Must Watch Video