LIGA PERDANA MSIA
Tonggak Kuantan FA dirayu jangan protes di atas padang
"Tolong selesaikan gaji kami." Demikian rayuan barisan pemain dan kejurulatihan kepada pengurusan baru Kuantan FA selepas mereka belum mendapat sebarang gaji sejak Disember lalu yang sudah memasuki tiga bulan.
Ketua pasukan kelab berkenaan, Alexandru Tudose, yang mewakili rakan sepasukan berkata mereka berdepan kesukaran dalam kehidupan harian.
Biarpun berjanji akan terus bersikap profesional, namun tanpa sebarang sumber kewangan, Tudose berasakan mustahil mereka mampu memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Iklan
Jika krisis berpanjangan, dia menjangkakan semua pemain sedia mengambil tindakan undang-undang demi menuntut keadilan.
"Jika kami terus tidak dibayar, pilihan kami adalah merujuk kepada Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Kami tidak boleh menyangkal apa yang dikatakan jurulatih. Saya rasa dia tahu kami mempunyai pasukan yang bagus.
"Kalau bayaran dilunaskan, pasti tahun ini kami akan menjadi lebih baik," kata Tudose.
Jurulatih, Ismail Zakaria, mengharapkan pemain jangan mengambil tindakan melulu dengan membuat protes yang akan merugikan pasukan.
Biarpun turut kecewa dengan situasi berkenaan yang menjejaskan motivasi anak buahnya, dia berharap masalah itu hanya bersifat sementara.
"Setakat ini segalanya masih di bawah kawalan, cuma saya menasihatkan mereka kerana apabila mereka melakukan protes, ia akan berbalik kepada diri sendiri.
"Orang luar melihat kepada prestasi, bukan siapa majikan mereka.
"Jika pemain menunjukkan sikap yang tidak baik, berkemungkinan pasukan lain juga tidak mahu mengambil mereka," ujar Ismail.
Must-Watch Video