LIGA SUPER MSIA
'TMJ jadi sasaran, ini tidak adil'
"Kalau kena main dengan tujuh pasukan sahaja, atau hanya main empat kali satu liga, kami tetap akan meneruskannya.
"Liga akan sentiasa berjalan. JDT akan sentiasa ada. Anda tidak boleh memusnahkannya. Jadi, bagi saya ia macam berputus asa," kata TMJ.
Meskipun saingan tempatan dilanda pelbagai kontroversi termasuk barah kewangan dan ada penarikan diri pasukan, tindakan memboikot kancah bola sepak negara hanya merugikan masa dan masa depan skuad kebangsaan.
Iklan
Perkara ini turut menjadi perbincangan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang menyeru supaya kempen Liga Malaysia (Liga-M) diteruskan demi terus memperkasa sukan itu dengan mencontohi juara Liga Super 11 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT), yang sudah menggapai pelbagai kejayaan.
Ketika sesi tersebut, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, turut menyelar kenyataan sesetengah pihak yang memburukkan nama Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tidak adil seperti menyalahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana dasar yang diperkenalkan Baginda berjaya mencetuskan revolusi bola sepak Malaysia.
“Lebih mendukacitakan apabila Tunku Mahkota Ismail turut dijadikan sasaran.
"Ini bukan sahaja tidak adil malah boleh menggugat ekosistem bola sepak profesional dan mampan yang sedang dibina di negara ini.
“Tunku Mahkota Ismail merupakan individu paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak negara melalui pelaburan peribadi dalam pasukan negeri, struktur profesional, pembangunan akar umbi serta kemudahan bertaraf dunia,” katanya kepada media tempatan.
Jelasnya lagi, usaha mengkritik TMJ akan mendatangkan kebencian, lantas boleh memecahbelahkan sokongan terhadap bola sepak.
Sebaliknya, menyeru untuk berganding bahu bersepakat membina sistem bola sepak terhebat bersama-sama.
“Saya menyatakan sokongan padu kepada Tunku Mahkota Ismail dan menyeru seluruh komuniti sukan untuk bersatu di bawah semangat kesukanan dan profesionalisme,” katanya lagi.
Must-Watch Video